APRIL 2025

Sarawak Perlu Sesuaikan Dasar Ekonomi Dengan Situasi Semasa


KUCHING: Sarawak perlu menyesuaikan dasar ekonominya dengan situasi semasa susulan pengenalan tarif daripada Amerika Syarikat, menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, impak minimal terhadap ekonomi tidak boleh dipandang enteng terutamanya memberi kesan terhadap harga minyak di seluruh dunia, yang mana komoditi gas dan minyak merupakan salah pendapatan utama Sarawak.

Katanya, harga minyak mentah kini sekitar USD65 setong namun  dianggarkan dalam bajet sekitar USD85 hingga USD90 setong dengan pengurangan sekitar USD20.

"Hal ini bermakna hasil pendapatan kita akan berkurangan, maka kita tidak dapat menjangka dengan pasti apa yang akan berlaku sehingga hujung tahun ini dan menuju ke tahun 2026.

"Dengan latar belakang ini, kita perlu menyesuaikan dasar ekonomi kita agar kita dapat terus kekal berkembang dan memastikan kita mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menampung komitmen yang telah kita buat," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Pejabat Setiausaha Kewangan Sarawak 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.

Tambah beliau, antara langkah-langkah strategik yang bakal diatur adalah penyatuan aset bagi mendapat tahu nilai aset yang ada untuk tujuan analisa.

Ujarnya, Kerajaan Sarawak akan cuba berinovasi dan menambah nilai kepada aset tersebut, selaras dengan perkembangan semasa, terutamanya dalam kalangan negara Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

Tambahnya lagi, antara langkah strategik lain adalah dengan mencari sumber pendapatan baharu dalam rangka undang-undang yang ada, serta hak yang telah diperuntukkan kepada Sarawak menggunakan teknologi dan aset baharu.

Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Pengerusi SAINS Sdn Bhd Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Ketua-ketua Jabatan serta dif kenamaan yang lain. - UKAS